Mahkamah Rayuan Benarkan Permohonan Anwar Tangguh Kes Saman Sivil Yusoff Rawther
PUTRAJAYA (KEMASKINI): Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan prosiding kes saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik, Mohammed Yusoff Rawther.
Kes tersebut melibatkan dakwaan serangan seksual oleh Yusoff yang didakwa berlaku di kediaman Anwar di Segambut pada 2 Oktober 2018.
Menurut peguam Anwar, Datuk Seri R. Krishnan, penangguhan itu diberi sementara menunggu keputusan rayuan Perdana Menteri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.
Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 2 September depan, di mana tarikh pendengaran rayuan dijangka akan ditentukan.
Penangguhan ini diputuskan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, bersama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Lim Hock Leng. Menurut Ruzima, mahkamah mendapati wujud keadaan istimewa yang membenarkan penangguhan diberikan.
Anwar diwakili oleh peguam Alan Wong Teck Wei dan Datuk Seri Rajasegaran S. Krishnan, manakala Yusoff Rawther diwakili oleh barisan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Nur Mustanir Md Nor dan Mior Nor Haidir Suhaimi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa prosiding pendengaran kes saman sivil tersebut dijadualkan bermula pada 16 Jun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Anwar sebelum ini telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan isu undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan — antaranya persoalan sama ada Perdana Menteri mempunyai kekebalan daripada tindakan saman.
Notis rayuan telah difailkan pada 4 Jun lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, menerusi firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad.
Dalam notis tersebut, Anwar menyatakan bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, dan merayu terhadap keputusan berkenaan sepenuhnya.





