Bazaria Wangsa Maju Berwajah Baharu, Dibuka Secara Rasmi Ogos Ini
KUALA LUMPUR: Bazaria Wangsa Maju, yang lebih dikenali sebagai Uptown Danau Kota, bakal beroperasi di lokasi baharu yang lebih strategik bermula Ogos ini, menandakan permulaan era baharu untuk pusat perniagaan malam popular warga kota.
Tapak baharu yang terletak di hadapan Giant Setapak, berhampiran J-Satine Residensi dan hanya lima minit berjalan kaki dari Setapak Central Mall, dijangka mula proses perpindahan pada 15 Julai.
Kompleks empat tingkat yang moden ini bukan sekadar pertukaran lokasi, tetapi merupakan langkah signifikan dalam memperkasakan penjaja kecil menerusi kemudahan serba lengkap dan persekitaran yang lebih selesa serta teratur.
Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk 550 unit bazar pelbagai barangan, 92 gerai makanan, 62 kedai kering, eskalator, tempat letak kenderaan yang luas, medan selera, gelanggang futsal, surau dan pejabat pengurusan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Penjaja yang digerakkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membangunkan ekonomi komuniti yang inklusif dan mampan.
DBKL telah mengeluarkan surat penempatan kepada 400 penjaja berlesen, manakala penjaja tanpa lesen akan melalui proses pemutihan di bawah program Lestari Niaga. Mereka yang layak akan ditawarkan ruang niaga sah di lokasi baharu ini.
Transformasi ini diharap dapat memperkukuh ekosistem perniagaan mikro bandar dan pada masa sama memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih selesa, selamat dan berstruktur kepada para pengunjung.





