Jurufoto Tidak Berlesen Diambil Tindakan di KLCC, DBKL Keluarkan 41 Kompaun
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan sebanyak 41 kompaun terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen dalam Operasi Bersepadu Lens (Ops Lens) yang dijalankan di sekitar kawasan KLCC pada malam semalam.
Menurut kenyataan rasmi DBKL, operasi tersebut bertujuan membanteras aktiviti jurufoto tidak berlesen yang beroperasi secara terbuka di kawasan awam tanpa kebenaran sah.
Operasi ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
“Pemeriksaan dijalankan terhadap individu yang terlibat bagi menyemak latar belakang jenayah, status pengenalan diri serta kewarganegaraan mereka. Tiada tangkapan dilakukan sepanjang operasi berlangsung,” jelas DBKL.
DBKL turut menegaskan bahawa aktiviti fotografi tanpa permit bukan sahaja menyalahi peraturan, tetapi turut menimbulkan risiko keselamatan, terutamanya di kawasan pejalan kaki dan jalan raya.
“Aktiviti ini boleh membahayakan jurugambar serta pelanggan, selain mengganggu kelancaran pergerakan orang awam.
“DBKL tidak akan teragak-agak untuk menyita peralatan jika aktiviti ini diteruskan tanpa kelulusan.
“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi memastikan ruang bandar kekal selamat, tersusun dan harmoni,” tambah kenyataan itu lagi.





